Menerangi langit dan bumi. Nur hidayah umpama 'Misykaat' dalam qandil kaca yang jernih terang laksana bintang yang bersinar cemerlang yang dinyalakan banyak manfaatnya, yang sentiasa terdedah kepada sinarNya dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar walaupun ia tidak disentuh api yang berganda-ganda, berlapis cahaya memimpin sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu

February 15, 2011

Asal Usul Melayu 7

Melayu Keturunan Ibrahim Khalilullah

Kumpulan Melayu-Proto anak cucu Nuh a.s. telah ada di Nusantara sejak seawal 5,000 tahun lampau sementara Melayu-Deutro anak cucu Ibrahim a.s. pula kira-kira 4,000 tahun lampau. Satu lagi kelompok dikatakan telah mengikut jalan laut (dikatakan dari Kanaan) dan mendarat di Palembang (inilah tempat kerajaan Srivijaya yang besar itu). Kelompok ini mungkin sampai lebih lewat tapi juga sudah lama, mungkin sekitar 3,500 tahun lampau. Rumah Melayu (istana Pagar Ruyung dan rumah Minangkabau) dikatakan sama bentuknya dengan rumah-rumah di Kanaan pada masa itu iaitu tinggi tiangnya dan melengkung bumbungnya.

Adakah nama Melayu untuk bangsa yang hebat ini adalah nama kontemporari? Roland Braddell menyatakan bahawa Tamil India Selatan adalah ahli pelayaran terkenal di zaman silam dan merekalah yang membawa tamaddun ke alam Melayu. Swami Satyananda dalam ‘History of Malay’ menyatakan bahawa Malaiyu, ibukota Sumatra adalah berasal dari bahasa Tamil iaitu Malai-Ur yang mana nama ini diberikan oleh penduduk Tamil kerana tanah ini dipenuhi banjaran gunung.

Malai bererti gunung sementara Ur maksudnya negeri. Saya berpendapat nama Ur itu mungkin setua Ur di Babylon. Ini kerana keturunan Ham telah memerintah Ur sejak 1800-712 SM (kaum Amur – bermaksud ‘orang gunung’ keturunan Ham memerintah Babylon Kuno dari 1800-1530 SM dan kaum Hitti – yang dikatakan oleh ahli sejarah sebagai datuk nenek orang Melayu atau Mongoloid juga keturunan Ham memerintah Babylon dari 1600-717 SM).

Dari kawasan Ur di Babylon inilah dikatakan bangsa-bangsa manusia bermula dan ia berlaku selepas taufan Nuh a.s. dan dari sinilah bertebarnya mereka ke serata bumi, berpindah mengikut jalan darat ke tanah besar yang lain. Memang besar kemungkinan bahawa Melayu adalah antara bangsa induk terawal yang pindah dari Ur hinggalah ke banjaran Himalaya, kemudian ke tempat lain di tanah besar dan kemudian dari itu pula mula bertebaran di Nusantara mengikut jalan laut. Setakat ini tiada catatan yang menyatakan bahawa Ur pada nama Malai-Ur itu bermaksud Ur di Babylon. Kalaupun nama itu dikatakan diberikan oleh orang Tamil atau Sanskrit, kita patut faham bahawa mereka ini pun adalah anak-anak Heth bin Kanaan bin Ham bin Nuh, dari satu rumpun yang berasal dari Ur (negeri Ur) juga. Saya berpendapat Melayu itu berasal dari perkataan Malai-Ur yang bermaksud ‘Orang Bukit yang berasal dari negeri Ur, Babylon’ dan orang Melayu yang menamakan sendiri bangsa mereka, bukanlah ia dinamakan oleh bangsa lain.

Lama setelah itu, iaitu setelah bermulanya tahun Masehi Kerajaan Sri Vijaya menjadi sebuah kerajaan Melayu yang agung di zaman silam. Empayar Sri Vijaya adalah negara yang merentasi Selat Melayu atau sekarang dipanggil Selat Melaka. Ia dikatakan didirikan oleh Orang Laut Kelang (pendapat ini menyatakan ianya seawal abad ke-2), dan berpusat di beberapa ibu negara, seperti Kelang, Kuala Selangor, Siak Sri Indrapura, Jambi, dan Palembang. Negara ini juga dipanggil Selang-Ur (Selangor) iaitu negeri Orang Selang (atau Orang Selat). Orang Selat adalah orang yang memanggil dirinya sebagai Orang Melayu sempena bukit tempat istana raja mereka didirikan.

Sukarlah bagi kita untuk menolak pendapat bahawa Ur, kemudian tanah besar Asia Tenggara (Tibet dan kemudian Kemboja atau Champa kemudian Yunan dan beberapa kerajaan silam di Semenanjung) adalah tempat asal bangsa Melayu, kemudian dari itu berlaku perpindahan mengikut jalan laut ke pulau-pulau. Contohnya Sumatera, Jawa, Borneo, Riau-Lingga, Madagaskar, Filipina adalah pulau-pulau. Semua perpindahan berlaku selepas banjir besar Nuh a.s. iaitu ketika Nusantara sudah berpecah menjadi pulau-pulau yang amat banyak.

Banyak catatan sebelah Timur dapat menyelidik tamadun Melayu selepas tahun Masehi sementara di Barat kehebatan bangsa Hitti telah dicatat tamadunnya sejak ribuan tahun sebelum Masehi iaitu selepas taufan Nuh a.s, (malah zaman Nabi Ibrahim a.s. pun hampir 1,000 tahun setelah Nuh a.s. dan juga sebelum Masehi). Terdapat seolah-olah satu jaringan yang putus (missing link) yang menjadi misteri asal usul Melayu. Namun bila dirujuk sejarah kehebatan Taman Tergantung Babylon, kerajaan Maya, Aztec, Angkor Wat dan Candi Borobudur, dapatlah kita sampai kepada satu kefahaman bahawa keturunan Heth bin Kanaan bin Ham bin Nuh a.s. adalah pelopor tamadun dunia sebegitu lama.

Betapa pula signifikannya Bani Jawi sebagai ‘trademark’ Melayu zaman ini? Inilah kelompok yang digelar oleh Barat sebagai Melayu-Deutro (kelompok kedua bangsa Melayu keturunan Ibrahim dari isterinya Keturah). Kumpulan ini dianggap lebih bertamaddun berbanding Melayu-Proto (kaum Nuh a.s.). Tapi mengapakah bangsa Melayu kaum Nuh a.s. dikaitkan dengan Melayu-Proto (orang Asli) saja? Saya fikir kaitan itu kurang tepat, pada saya, sejak zaman Nuh pun ada kelompok Melayu yang lebih maju dari kelompok Melayu yang lain dan telah mendirikan empayar-empayar yang agung. Itulah yang dapat dilihat dari kisah Raja Sulan, Kublai Khan dan Genghis Khan. Kelompok yang mundur teknologinya mungkin merupakan ‘kaum yang terselamat atau lari’ kerana dua sebab penting. Pertama kerana negeri mereka diserang oleh bangsa lain dan kedua kerana negeri mereka telah ditimpa bala bencana kerana golongan yang kuat, kaya dan berilmu dari kalangan mereka telah kufur dan melampaui batas.

Anak cucu Nabi Ibrahim a.s. dari keturunan Keturah adalah datuk nenek orang Melayu (mereka ini dari anak Ham juga) . Nabi Ibrahim a.s. berasal dari Ur dan tentunya telah membawa tamadun yang baik dari Ur Babylon, Haran (Hebron) dan Kanaan (Canaan). Syari’at Ibrahim adalah peradaban atau cara hidup yang menjadikan Bani Jawi bangsa yang berbudi pekerti tinggi dan menyenangkan kerana amat bertoleransi. Menurut Ibnu Athir, Keturah isteri ketiga Ibrahim a.s. adalah ibu kepada Bani Jawi. Orang-orang Yahudi dan Nasrani sendiri memang tahu kisah Ibrahim memerintahkan anak-anak Keturah agar berpindah ke Timur kerana ia termaktub dalam Taurat iaitu Genesis 25:6 (timur ini mungkin bermaksud ke Yunan dari kawasan Kemboja), tetapi Ahli Kitab Yahudi dan Nasrani tidak tahu dari bangsa apakah dan di manakah Keturah ini menetap. Malah diberitakan juga bahawa ketika Ibrahim a.s. wafat, hanya anaknya Ishaq dan Ismail berada di sisinya, dan anak-anak yang lain tidak hadir kerana mereka dikatakan berada ‘amat jauh’. Ahli Kitab menyatakan bahawa nama Keturah itu bermaksud ‘yang berbau wangi, wangian (seperti setanggi)’ dan ‘wangi’ ini dikaitkan oleh Ahli Kitab dengan budi pekerti luhur yang dimiliki Keturah. Nabi Ibrahim mengahwininya ketika berusia 137 tahun iaitu setelah kematian Sarah dan mendapat 6 anak. Nabi Ibrahim berusia 175 tahun semasa baginda wafat.


Dipetik Dari - Megasutra